Friday, September 18, 2009

Selamat Menyambut Hari Raya AidilFitri..Maaf Zahir & BatiN....

Salam AidilFitri daripada kami " BROKEN MIND TEAM " segala salah dan silap harap dimaafkan..


http://brokenmindinstitute.blogspot.com/

Friday, September 11, 2009

Apa ada pada monitor?

Apa ada pada monitor?

Apabila menyentuh mengenai dunia komputer peribadi (PC) pengguna, masyarakat sering kali mengaitkannya dengan unit pemprosesan komputer (CPU), sistem operasi atau jenis pemprosesannya yang memberi nyawa ketika menghidupkan komputer. 



Ibarat aur dengan tebing, komputer tidak lengkap tanpa paparan monitor yang memainkan peranan penting menjelaskan imej yang ditafsir daripada kod nombor dibaca CPU menjadikan gambar terpampang pada skrin.
Menurut bahasa komputer, monitor terletak di bawah kategori unit paparan visual yang berupaya memaparkan visual dijana pemprosesan grafik menerusi kad grafik.
Boleh dikatakan, peranti memaparkan imej terbabit mempunyai dua jenis spesies pada masa kini termasuk tiub sinar katod (CRT) dan pemapar cecair kristal (LCD) yang berlegar di pasaran.
Selain itu, dunia perkomputeran turut mengklasfikasikan monitor kepada empat jenis iaitu monokrom, warna, segerak berbilang dan paparan kecerahan elektro (ELD).
Mutu monitor tergantung kepada beberapa faktor terutama bilangan piksel yang dipaparkan oleh skrinnya kerana lebih banyak pikselnya, lebih tajam teks dan grafik yang dicetuskan.
Pada awalnya semua monitor tergolong dari jenis CRT sama seperti yang dilihat menerusi tiub televisyen namun kini populariti monitor jenis LCD kian mendapat perhatian dan bakal menggantikan CRT secara perlahan-lahan.
Semestinya monitor LCD lebih mencuri perhatian apatah lagi ia mampu ditempatkan pada ruang yang terhad, lebih ringan serta menjimatkan bil elektrik berbanding monitor terdahulu.
Paparan PC terawal menggunakan monitor monokrom digunakan untuk memproses imej perkataan saja yang digunakan sistem perkomputeran terdahulu pada 1970-an sebelum IBM memperkenalkan sistem lain pada 1981.
Sistem paparan Penyesuai Grafik Warna (CGA) pada tahun itu berjaya memperkenalkan empat warna dengan meleraikan piksel kepada 320 secara mendatar dan 200 menegak (320 x 200).
Teknik peleraian CGA sudah cukup untuk kegunaan permainan komputer mudah seperti permainan ’solitaire’ namun ia tidak mampu memproses perkataan, aplikasi dan penggunaan grafik mudah.
Pada tahun 1984, IBM memperkenalkan sistem paparan Penyesuai Grafik Tertingkat (EGA) yang dapat memberikan sehingga 16 warna berlainan dan peleraian sehingga 640 x 350.
Secara tidak langsung, ia memperbaiki kualiti berbanding paparan lebih awal selain memungkinkan pembacaan teks yang lebih mudah.
Sungguhpun begitu, EGA tidak memberikan peleraian imej mencukupi untuk kegunaan bertahap tinggi seperti reka bentuk grafik.
Yang menariknya, mod EGA masih boleh didapati untuk pemprosesan lama dan PC pada kediaman lama.
Sementara itu, pada tahun 1987, IBM memperkenalkan sistem paparan Susunan Grafik Video (VGA).
Sistem terbabit masih digunakan sehingga sekarang dan dijadikan piawaian minimum yang dapat diterima untuk PC dengan peleraian maksimum bergantung kepada bilangan warna dipaparkan.
Pengguna boleh memilih antara enam belas warna pada 640 x 480, ataupun 256 warna pada 320 x 200.
Menjelang tahun 1990, sekali lagi IBM melangkah untuk mengumumkan sistem paparan Susunan Grafik Terluas (XGA) sebelum mengetengahkan versi berikutnya, iaitu XGS-2 yang memberikan peleraian 800 x 600 piksel dalam warna yang benar (16 juta warna).
Ia juga mampu membuat peleraian 1024 x 768 dalam 65,536 warna.
Kedua-dua tahap peleraian imej ini terus mendapat permintaan hebat di pasaran pada hari ini.
Persatuan Piawaian Elektronik Video (VESA) pula mengasaskan antaramuka pengaturcaraan piawaian untuk paparan Susunan Grafik Video Super (SVGA) yang digelarkan Sambungan BIOS VESA (”VESA BIOS Extension”).


Lazimnya, paparan SVGA dapat mendukung palet sehingga 16 juta warna bergantung kepada jumlah memori video tersedia dalam sesuatu komputer yang akan mengehadkan bilangan warna dapat dipaparkan.
Spesifikasi peleraian imej berbeza-beza. Pada umumnya, lebih besar skrin Monitor SVGA, lebih banyak piksel dapat dipaparkan secara datar dan tegak.
Zaman moden turut melampiaskan ‘peluhnya’ kepada monitor ala baru menerusi Susunan Grafik Terluas Super (SXGA) dan Susunan Grafik Terluas Ultra (UXGA).
Kebiasaannya, istilah SXGA digunakan untuk merujuk kepada skrin yang mempunyai peleraian 1280 x 1024 manakala UXGA membawa pengertian kepada peleraian 1600 x 1200.
Manakala dua teknologi yang diperkenalkan pada monitor baru termasuk paparan berteknologi plasma dan diod sinar organik (OLED) yang mampu memberi keunggulan visual kepada pengguna.
Prestasi monitor banyak bergantung kepada faktor seperti:
1. Luminan
Ia diukur berdasarkan kandela setiap meter persegi yang mempamerkan kekuatan cahaya monitor.
2. Saiz skrin
Walaupun secara teorinya, saiz 10 inci cukup untuk memberi penglihatan kepada pengguna namun monitor turut menawarkan saiz sehingga 42 inci.
3. Nisbah Aspek
Beberapa nisbah aspek kini ditawarkan seperti 4:3 sehingga teknologi terkini iaitu 16:9 bergantung kepada jenis monitor.
4. Resolusi
Antara aspek penting termasuk resolusi paparan memberi makna jumlah piksel setiap dimensi yang boleh disiarkan.
5. ‘Dot Pitch’
Ia adalah jarak antara piksel untuk warna sama dalam millimeter. Secara umumnya, lebih kecil jumlah dot pitch, lebih jelas imej dipaparkan.
6. Kadar ‘Refresh’
Jumlah nombor dalam sesaat yang membuatkan paparan menjadi terang.
7. Masa tindak balas
Jumlah piksel dalam monitor yang berubah dengan pantas. Ia diukur berdasarkan millimeter. Lebih sedikit nombornya, lebih pantas nombor itu, lebih laju pergerakan imej dibawa.
8. Nisbah Kontras
Keseimbangan kecerahan antara putih dan hitam yang mampu dihasilkan monitor.
9. Penggunaan tenaga
Diukur berdasarkan ‘watt’
10. Sudut pandangan
Ia memaparkan sudut pandangan paling jauh yang boleh dilihat berdasarkan darjah.
Acer antara pengeluar monitor paling unggul dengan puluhan produk yang menawarkan keunggulan rekaan dan teknologi malah ia turut memperkenalkan produk terbarunya iaitu Acer H235H dilengkapi beberapa teknologi.
Antaranya, teknologi Pengurusan e-Color yang menyesuaikan mod visual mengikut kehendak pengguna dengan nisbah kontras dinamik 100,000:1.
Kini, monitor menuju perubahan dunia digital apabila turut mengalami evolusi definisi tinggi apabila mula menyokong format HDMI yang dijangka digunapakai dalam lima tahun mendatang.
Harga monitor bagi monitor LCD mungkin bermula RM400 hingga RM2,000 manakala harga bagi HDMI masih tinggi namun demi kepuasan visual terbaik, pengguna perlu memilih produk berkualiti tinggi yang menjamin tahap inovasi canggih.
Walaupun memilih monitor tidak sesukar membuat penilaian terhadap produk dalaman CPU, pengguna masih perlu berhati-hati dalam memastikan pelaburan jangka panjang mampu membawa keuntungan.
Setakat ini, pengguna menyaksikan rekaan monitor berbentuk empat segi tepat namun tidak mustahil pada masa depan, ia boleh dipelbagaikan mengikut selera mata serta keperluan pengguna.
Selain itu, monitor kini berjaya dievolusikan agar ia mampu disentuh seperti dilihat melalui kajian Microsoft menjadikannya lebih dekat dengan naluri manusia yang menggantikan papan kekunci sedia ada.
Kita menunggu evolusi skrin sesentuh pada monitor mampu menghilangkan papan kekunci konvensional pada masa akan datang dan menggantikannya kepada papan kekunci maya yang lebih baik serta menjimatkan ruang.